fbpx

Lebih rela percaya doktor ‘Google’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

TAHNIAH buat mereka yang berjaya mengekalkan berat badan dan juga kepada mereka yang sedang berusaha menurunkan berat badan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan sejak Mac 2020.

PKP menyebabkan masyarakat berkurung sambil menjalani rutin dalam norma baharu seperti bekerja dari rumah dan mengikuti sesi pembelajaran dari rumah sekali gus mendorong mereka menikmati ruang dan peluang menjamu selera tanpa disiplin yang baik.

Masa lapang digunakan sebaiknya buat mereka yang suka memasak dan mencuba resipi baharu selain dorongan daripada pelbagai video masakan di media sosial untuk menghidangkan menu lazat bermula dari sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam dan juga kudapan lain seperti kek, biskut dan roti buatan sendiri.

Lebih mencabar perasaan apabila rakan atau ahli keluarga dalam media sosial menunjukkan kejayaan mereka memasak menu makanan yang julung kali dibuatnya seperti beriani kambing dan roti canai.

Selain itu, faktor mudah membuat tempahan makanan dan minuman di platform e-dagang dengan tawaran pelbagai menu menarik turut memburukkan lagi keadaan sehingga memaksa masyarakat melanggar disiplin mengawal berat badan masing-masing.

Tabiat untuk makan secara berterusan juga sering diamalkan oleh mereka yang berada dalam tekanan, murung, kecewa kerana pandemik akibat kehilangan kerja, masalah keluarga, menanggung beban kewangan yang teruk serta rindu untuk pulang ke kampung berjumpa keluarga.

Menyedari berat badan yang semakin bertambah, perubahan pada diri juga dapat dirasakan seperti cepat letih, mengantuk, malas untuk melakukan aktiviti riadah sehingga mula bermusuh dengan alat penimbang berat badan.

Tindakan negatif ini pastinya bakal mengundang ke arah obesiti selain bakal mengidap penyakit normal masyarakat seperti kencing manis, darah tinggi dan seterusnya kepada penyakit berbahaya lain seperti penyakit yang berkaitan dengan jantung.

Bagi mereka yang berfikiran singkat untuk menurunkan berat badan dengan cepat, pastinya produk pelangsingan badan yang mudah didapati secara offline dan online menjadi pilihan.

Ada juga yang cenderung mengamalkan jus minuman kesihatan yang diperbuat daripada pelbagai bahan semula jadi dan juga pemakanan sunnah tanpa merujuk pakar perubatan menjadi alternatif terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Tidak dinafikan ada juga produk yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan pelbagai badan penyelidik lain membantu merawat penyakit yang dihadapi pelanggan tetapi bukan semuanya mujarab kerana bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu, lebih malang jika ia memberi kesan sampingan lain.

Namun, buatlah pemilihan terbaik terhadap produk penjagaan kesihatan yang semakin melambak di pasaran tempatan, rujuklah kepada mereka yang arif dan jangan terpedaya sepenuhnya terhadap testimoni daripada ‘doktor Google’ semata-mata. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI