PETALING JAYA – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PBKM) menyeru kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Luar Negeri memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu kontraktor menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika beroperasi di luar negara.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, kontraktor berdepan dengan pelbagai masalah ketika menjalankan operasi di luar negara seperti halangan bukan tarif, amalan perolehan yang tidak adil dan layanan tidak setara oleh pemerintah negara tersebut.
“Campur tangan strategik dan perhubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang terancang mampu membantu kontraktor bumiputera mengatasi cabaran luar biasa setiap kali menjalankan operasi di seberang laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman menjelaskan, terdapat beberapa kontraktor bumiputera tempatan yang mempunyai kemampuan bertaraf dunia dengan rekod prestasi yang cemerlang.
Tambah beliau, syarikat berkenaan mampu bersaing secara setara dengan pesaing dalam industri pembangunan dan pembinaan global.
Memetik satu kes yang melibatkan pakar pembinaan dan pemaju hartanah bumiputera, WZR Property Sdn. Bhd. (WZR) baru-baru ini, syarikat tersebut masih menunggu penyelesaian penuh yang diperintahkan mahkamah yang melibatkan kerajaan Maldives kerana melanggar kontrak dengan bayaran hampir RM100 juta.
“Dalam kes seperti ini, kerajaan Malaysia boleh masuk campur melalui perspektif G2G untuk membantu menyelesaikan masalah. Kita tidak boleh membiarkan sebuah syarikat cemerlang mengalami kerugian besar kerana amalan yang tidak adil,” jelas Azman.