fbpx

50 gelandangan suntik vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rashidi (kiri) melihat dua gelandangan menerima suntikan vaksin pada Program Vaksin Golongan Gelandangan di Jalan Trus, Johor Bahru, Johor hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Program Pemberian Vaksin kepada golongan gelandangan yang dibuat secara terbuka di Jalan Trus, di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan terbabit bagi mengelakkan jangkitan wabak.

Bagi Shahrani Ahmed, 51, dia yang takut jarum suntikan itu tetap memberanikan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kerana tahu kepentingan kepada dirinya dan masyarakat sekeliling.

Dia yang berasal dari Pontian itu memberitahu sudah lama berhasrat untuk mendapatkan suntikan vaksin dan amat menghargai usaha yang dilakukan pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ada baiknya kita ambil vaksin ini yang memberi perlindungan kepada diri serta masyarakat setempat. Walaupun takut jarum, demi vaksin Covid-19 saya rela untuk terima suntikan ini.

“Demi adanya vaksin ini, mudah untuk saya ke mana-mana baik ke kedai atau tempat lain tanpa mendatangkan kebimbangan kepada orang lain.

“Harap rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan vaksin yang memudahkan kita mencari pekerjaan kelak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pemberian Vaksin di Jalan Trus, di sini hari ini.

Bagi Shem Kutio, 46, pula, dia bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 itu sekali gus menyahut saranan kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

Katanya, dia berhasrat untuk pulang ke kampung halaman di Pitas, Kota Marudu, Sabah untuk mencari pekerjaan apabila tamat tempoh 28 hari selepas menerima suntikan vaksin satu dos suntikan jenis CanSino.

Katanya, kali terakhir dia bekerja adalah sebagai pekerja pembersihan di Singapura pada 2019 sebelum tinggal sekitar Dataran Sri Lanang yang sebelum ini merupakan tempat pemberian makanan oleh pihak PBSM Negeri Johor untuk golongan gelandangan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan PBSM, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor berkata, seramai 50 orang gelandangan terima vaksin dalam program pemberian vaksin untuk gelandangan secara terbuka ini.

Katanya, pihak telah membantu mendaftarkan golongan itu dan setakat ini seramai 150 gelandangan berusia 25 sehingga 60 tahun telah menerima suntikan dos pertama vaksin.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI