IPOH – Polis mengeluarkan sebanyak 92 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan di tiga lokasi di sekitar Ipoh, semalam.
Operasi bermula pukul 6 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh di sekitar bandar Ipoh, Persiaran Brash (Padang Polo) dan Persiaran Bandaraya (Dataran Majlis Bandaraya Ipoh).
Operasi itu disertai seramai 10 pegawai dan anggota BSPT Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, saman dikeluarkan selepas memeriksa sebanyak 115 kenderaan dan 130 individu.
Katanya, tiga buah motosikal turut disita sepanjang operasi tersebut dijalankan.
“Dalam operasi itu, sebanyak 92 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat, tiada insurans dan cermin sisi.
“Tiga motosikal disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan ubah suai kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi itu diadakan bagi mengesan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas di samping mengenal pasti motosikal yang diubahsuai yang cenderung terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.
“Golongan ibu bapa dinasihatkan sentiasa peka dan memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929