SUNGAI SIPUT – Seramai 97 penduduk daripada 20 keluarga di tiga kampung di sini terpaksa dipindahkan sejak malam tadi setelah kediaman mereka dinaiki air berikutan kejadian banjir kilat.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, hujan sejak petang semalam menyebabkan air melimpah ke kawasan rendah.
Menurut jurucakap itu, tiga pusat penempatan sementara (PPS) dibuka sejak pukul 12 tengah malam tadi dan usaha memindahkan penduduk dilakukan oleh pasukan penyelamat serta dibantu penduduk kampung.
“Tiga PPS adalah di Dewan Lintang yang menempatkan 21 mangsa diikuti PPS Dewan Tok Sirat (61) dan PPS Sekolah Kebangsaan Lasah (15).
“Mangsa-mangsa adalah dari Kampung Chior dan Kampung Tok Sirat di Lasah serta Kampung Lintang,” ujar jurucakap tersebut.
Ketika ini hujan telah berhenti pada sebelah pagi manakala sesetengah kawasan masih ditenggelami air sehingga paras kira-kira 0.9 meter.
Pemantauan berkala masih dilakukan oleh pihak bomba bersama agensi penyelamat yang lain untuk memantau keadaan banjir.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929