KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,421 kes penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon direkodkan
melibatkan kerugian berjumlah RM57.37 juta bermula Januari hingga 15 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, berdasarkan siasatan, sindiket akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah, Kastam Diraja (JKDM) atau Kementerian Kesihatan (KKM).
“Melalui panggilan tersebut, sindiket akan cuba menakutkan mangsa dengan memaklumkan penglibatan dalam siasatan kes jenayah dan mangsa akan diarah untuk menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, id pengguna, nombor kad mesin pengeluaran automatik (ATM) dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada sindiket dengan alasan untuk tujuan siasatan.
“Mangsa juga diarah untuk memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) yang kononnya milik pegawai bank negara bagi tujuan siasatan.
“Pada masa sama, sindiket berjanji wang tersebut akan dikembalikan semula selepas beberapa hari dan mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati wang tersebut tidak dikembalikan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai perlu tahu bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon terutamanya melibatkan siasatan.
“Jabatan kerajaan khususnya pihak polis hanya akan berhubung melalui telefon untuk membuat janji temu dan urusan lanjut akan dibuat di pejabat kerajaan yang berkaitan.
“Sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun, kata laluan perbankan atau jumlah wang di dalam akaun bank juga tidak akan diminta melalui panggilan telefon,” ujarnya.
Jelas beliau, dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini daripada terus berlaku, pihaknya menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika berurusan melalui panggilan telefon.
Orang ramai diingatkan untuk tidak berkongsi maklumat kewangan atau perbankan kepada mana-mana pihak bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan sebarang kemusykilan boleh hubungi CCID Response Center di talian 0326101559/1599. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929