JOHOR BAHRU – Tiga maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta Proton Waja yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, di sini awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa yang maut ialah R. Vimalan, 21, A. M. Sharven, 21, dan seorang lagi lelaki berusia 20-an.
Manakala, mereka yang cedera dikenali sebagai S. Meshen Kumar, 21, dan P. Agilan, 22.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, kemalangan berlaku ketika kelima-lima mangsa dalam perjalanan dari Taman Daya menuju ke Setia Indah.
“Sejurus sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu melanggar tembok sebuah rumah di Taman Daya.
“Tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA),”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ramli berkata, Pasukan Keluar Operasi (PKO) menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Jelasnya, kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke HSA untuk bedah siasat.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929