KULAI – Perasaan seronok dua sahabat melakukan aktiviti riadah mendaki Gunung Pulai di sini bertukar detik mencemaskan apabila mereka terpaksa ‘bermalam’ di ladang kelapa sawit selepas tersesat dalam kejadian semalam.
Mangsa, Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25, dan Muhammad Fadzrel Haziq Mohd. Farid, 16, dilaporkan hilang kira-kira pukul 5.30 petang ketika cuba keluar dari kawasan rekreasi itu namun gagal.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf”ii berkata, kedua-dua mangsa ditemui selamat pada pukul 10.45 malam tadi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejurus menerima panggilan kecemasan bagi mengesan kedua-dua mangsa tersebut membabitkan seramai lapan anggota BBP Kulai.
“Berdasarkan maklumat diterima daripada saudara mangsa, terdapat dua lelaki dewasa telah sesat ketika melakukan aktiviti mendaki gunung.
“Anggota bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mereka tetapi rangkaian telefon tidak jelas.
“Operasi yang dijalankan akhirnya berjaya menemui mangsa kira-kira pukul 10.45 malam setelah lebih lima jam operasi SAR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Mohd. Azrul berkata, kedua-dua mangsa dijumpai berada dalam keadaan lemah di kawasan Jeram Kulai kaki Gunung Pulai.
Ujarnya, mangsa dihantar ke Hospital Kulai dengan menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan pemeriksaan susulan.
Katanya, setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada pukul 1.15 pagi hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929