Oleh YATIMIN ABDULLAH
PENOLONG jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya telah memberi pesanan kepada anak-anak buahnya agar bermain seperti biasa pada aksi perlawanan pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam ini.
Rezal Zambery berkata, berdepan juara Liga Super sebanyak lapan kali itu bukan tugas mudah apabila pasukan itu lengkap daripada segenap posisi sekali gus memberikan tekanan buat pasukannya.
“Tekanan itu ada, namun pemain Kelantan FC harus pandai mengawal emosi dan bijak mencari peluang untuk menjaringkan gol.
“Saya harap pemain dapat memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Rezal Zambery memberitahu, skuad The Red Warriors (TRW) akan turun dengan ramuan terbaik untuk berdepan JDT.
Katanya, dia mahu barisan pemain Kelantan FC bertahan sebagai satu pasukan dan tidak mudah hilang arah.
“Apa yang lebih penting adalah kita tidak terlalu banyak memberi ruang kepada pemain JDT kerana ia boleh membahayakan kubu TRW,” ujarnya. – K! ONLINE