MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan keputusan memilih Bruno Fernandes berbanding Cristiano Ronaldo untuk mengambil sepakan penalti ketika mereka tewas 0-1 kepada Aston Villa di Old Trafford kelmarin.
United dianugerahkan sepakan penalti selepas bola tandukan Edinson Cavani terkena tangan pemain pertahanan Villa, Kortney Hause pada masa kecederaan, namun sepakan Fernandes jauh melepasi palang gol.
Ketika diberikan sepakan berkenaan, Ronaldo kelihatan bersedia untuk menjalankan tugas itu tetapi Fernandes mahu mengambil tanggungjawab berkenaan, namun tidak berjaya menyempurnakannya sekali gus menjadi kegagalan kedua dalam 23 percubaannya sebelum ini.
“Itulah bola sepak. Dia (Fernandes) sentiasa memberikan aksi terbaik untuk pasukan tetapi adakalanya ia tidak menjadi seperti apa yang dikehendaki. Antara berjaya dan gagal itu hanya dipisahkan dengan satu garisan yang halus,” katanya.
Dalam pada itu, Solskjaer menafikan bahawa Ronaldo tidak gembira dengan keputusan Fernandes untuk mengambil sepakan berkenaan.
“Ia akan menjadi tajuk berita saya fikir. Bruno mempunyai rekod yang cemerlang, begitu juga Ronaldo yang juga merupakan penendang sepakan penalti yang berjaya di dunia.
“Anda boleh membuat pelbagai andaian terhadap reaksi yang ditunjukkan oleh pemain. Bruno memiliki kemampuan menjalankan tugas itu dan anda perlu percaya mengenai perkara itu,” katanya.
Sementara itu, United juga berdepan kemungkinan kehilangan dua pemain pertahanan mereka, Harry Maguire dan Luke Shaw yang mengalami kecederaan pada perlawanan itu ketika mereka bakal terbang ke Villareal untuk aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu nanti. – AGENSI