LEEDS – Pengurus West Ham United, David Moyes menegaskan, pasukannya berhak meraih tiga mata selepas bangkit mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road kelmarin.
Moyes, 58, bangga dengan semangat tidak berputus asa barisan pemainnya walaupun ketinggalan satu gol kepada Leeds menerusi Raphinha pada minit ke-19 sebelum jaringan penyamaan mereka dalam babak kedua dibatalkan pengadil.
Bagaimanapun, jaringan sendiri bek kiri Leeds, Junior Firpo pada minit ke-67 membangkitkan semangat para pemain The Hammers dan berjaya membawa pulang tiga mata menerusi gol kemenangan Michail Antonio di hujung perlawanan.
“Ini adalah satu perlawanan yang cukup sukar kerana anda sudah menjangka Leeds akan bermain seperti ini. Saya lega kerana kami berjaya melepasi halangan ini.
“Kami berhak meraih kemenangan ini kerana prestasi dalam babak kedua. Walaupun ketinggalan satu gol tetapi saya percaya kami boleh jaringkan gol kerana corak permainan kami,” kata Moyes.
Dalam masa sama, Moyes menghambur pujian kepada Antonio yang terus berada dalam kelas tersendiri selepas meledak enam gol daripada enam perlawanan terakhirnya.
“Anda boleh berkata apa-apa sahaja terhadap Antonio tetapi dia adalah seorang pemain yang istimewa kerana berjaya menjaringkan gol pada lewat permainan. Inilah tugas sebagai seorang penyerang,” jelasnya.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut buat West Ham dalam dua perlawanan terakhir selepas terdahulu menewaskan Manchester United sewaktu pusingan ketiga Piala Liga Inggeris Khamis lalu. – AGENSI