LONDON – Liverpool terlepas peluang untuk merakam kemenangan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas diikat pendatang baharu musim ini, Brentford 3-3 dalam satu pertembungan sengit di Stadium Brentford Community awal pagi semalam.
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp tanpa berselindung memuji keupayaan Brentford kerana sentiasa berupaya mencipta peluang untuk bangkit menyamakan kedudukan sebanyak dua kali sepanjang 90 minit aksi itu.
“Saya tiada masalah untuk terima keputusan ini selepas kedua-dua pasukan bermain corak permainan terbuka dan menghiburkan. Inilah bola sepak, anda perlu mencipta sesuatu untuk meraih kemenangan.
“Mereka berhak meraih ketiga-tiga gol dan keputusan seri ini kerana kami gagal menangani setiap hantaran jauh. Bukan itu sahaja, mereka juga berjuang habis-habisan.
“Penjaga gol mereka (David Raya) sepatutnya memakai jersi No. 10 kerana beraksi cemerlang,” kata Klopp.
Brentford terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ethan Pinnock (m-27) sebelum Diogo Jota dan Mohamed Salah memastikan Liverpool mendahului 2-1.
The Bees bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Vitaly Janelt pada minit ke-63, namun ia tidak bertahan lama apabila Liverpool meledak gol ketiga menerusi jaringan Curtis Jones empat minit kemudian.
Hasrat The Reds untuk meraih tiga mata lebur apabila, Yoane Wissa menyamakan kedudukan buat Brentford pada minit ke-82. – AGENSI