JEREZ – Perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) yang berlangsung kelmarin dibatalkan selepas pelumba kategori Supersport 300 berusia 15 tahun, Dean Berta disahkan meninggal dunia ekoran terlibat dalam insiden kemalangan.
Pelumba muda Sepanyol tersebut yang juga sepupu kepada pelumba MotoGP, Maverick Vinales maut selepas bertarung nyawa akibat kecederaan di bahagian dada serta kepala.
Dia beraksi bersama pasukan Vinales Racing yang diuruskan oleh Angel Vinales iaitu bapa Maverick dan pertama kali bersaing dalam kelas berkenaan.
“Berta mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan. Kenderaan perubatan diarahkan terus ke litar selepas insiden kemalangan tersebut.
“Bagaimanapun, pusat perubatan mengesahkan Berta telah meninggal dunia,” kata WSBK dalam satu kenyataan.
Sementara itu, juara dunia MotoGP, Marc Marquez turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan juga pasukan.
“Takziah kepada keluarga dan rehat dengan tenang Berta. Sokongan saya kepada keluarga dan juga rakan-rakan,” katanya.
Sebelum ini seorang lagi pelumba Sepanyol berusia 14 tahun, Hugo Milan meninggal dunia Julai lalu di perlumbaan European Talent Cup di Litar Motorland Aragon.
Pada Mei lalu, pelumba Switzerland, Jason Dupasquier, 19, meninggal dunia ketika sesi kelayakan Kejohanan Dunia Moto3 di Grand Prix Itali dekat Mugello. – AGENSI