PONTIAN – Seorang remaja lelaki melalui detik cemas apabila kereta Kia Spectra yang dipandu mengeluarkan api dari celah cermin hadapan ruang enjin dalam kejadian di Jalan Parit Mesjid, di sini, petang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tindakan pantas mangsa berusia 20 tahun memberhentikan kereta sebelum keluar dapat menyelamatkannya.
Menurut Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.10 petang, pihaknya telah menghantar sembilan anggota ke lokasi kejadian.
“Kebakaran berlaku dihadapan kereta dan Pasukan Keluar Operasi (PKO) bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula bagi memadamkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Tambah Mahadir, kebakaran tersebut telah memusnahkan 70 peratus dari keseluruhan kereta tersebut.
“Mangsa yang memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan dari Pekan Nanas ke kediamannya di Taman Perpaduan, Jalan Parit Mesjid,” ujarnya.
Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamat diri apabila mendapati keretanya mula terbakar.
Jelasnya, punca kejadian masih lagi dalam siasatan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929