fbpx

Minum susu 16 tin sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Raziff (kanan) menziarahi Ridzuan yang terlantar sakit di rumahnya di Felda Titi, Jelebu semalam

JELEBU – Seorang warga emas yang terlantar di rumahnya di Felda Titi di sini sejak lima tahun lalu memerlukan sekurang-kurangnya 16 tin susu khas berharga lebih RM1,000 pada setiap bulan sebagai sumber makanan utama.

Isterinya, Norlela Amat, 56, berkata, kesihatan suaminya, Ridzuan Bahtiar, 65, terjejas selepas diserang tekanan darah tinggi, namun pada peringkat awal, dia masih mampu menggerakkan anggota badan.

Bagaimanapun, katanya, kesihatan suaminya semakin merosot apabila terdapat darah beku pada kepala sehingga menyebabkan suaminya terlantar.

“Suami saya kini hanya bergantung kepada sumber makanan daripada susu. Setiap bulan, dia perlukan 16 tin susu khas yang berharga RM63 bagi setiap tin,” katanya selepas Program Ziarah Kasih Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan di Felda Titi di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan, Mohd. Raziff Mansor.

Norlela memberitahu, pada setiap bulan, dia akan mendapatkan lima tin susu khas daripada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, manakala tiga lagi sumbangan Baitulmal selain lampin pakai buang.

“Lapan tin susu khas lagi perlu dibeli sendiri. Saya menggunakan sepenuhnya sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan bagi membeli susu, lampin serta peralatan khas yang melebihi jumlah bantuan ini.

“Saya juga bergantung hidup sepenuhnya kepada bantuan menantu sulungnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan anak kedua yang bekerja kilang,” katanya.

Menurutnya, anak ketiganya yang berusia 23 tahun pula tidak dapat bekerja memandangkan perlu membantunya menguruskan bapa terutamanya untuk mengangkat dan membawanya mandi selain menukar lampin pakai buang.

Ujarnya, setiap enam bulan sekali, suaminya juga perlu dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi menukar saluran pernafasan yang ditebuk di bahagian leher.

“Pun begitu, urusan menjaga suami tidak sesukar mana, namun kosnya yang tinggi menyebabkan kami berhadapan dengan saat saat sukar,” katanya.

Orang ramai yang ingin me­nyalurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional 05109-41-00007141-2 atas nama Norlela Amat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI