KUANTAN – Seorang penjawat awam dari Jerantut Feri, Jerantut mengalami kerugian RM5,270 selepas diperdaya dalam pembelian emas lelong berharga RM270 di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula apabila wanita terbabit melihat iklan jualan barang kemas di Facebook dengan nama ‘Kedai Emas Harga Lelong Terengganu’ pada 15 September lalu.
“Mangsa menekan pautan pada iklan berkenaan dan berhubung melalui WhatsApp dengan penjual yang memperkenalkan diri sebagai Nortaibah.
“Mangsa berminat untuk membeli seutas rantai tangan berharga RM270 dan bertanyakan cara pembayaran sebelum dia diminta untuk membuat beberapa kali pembayaran atas pelbagai alasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Wazir mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM5,270 sepanjang tempoh 15 September hingga 23 September lalu ke tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek.
Katanya, sehingga kini mangsa tidak menerima barang kemas yang dibeli dan berasa ditipu sebelum membuat laporan polis dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE