TAIPEI, Taiwan – Seorang wanita mengalami pengalaman ngeri dan memalukan apabila dia tergolek jatuh dari tingkat atas rumah ke atas bumbung kereta ketika sedang melakukan hubungan seksual di ruang balkoni, lapor akhbar The Sun, semalam.
Kejadian yang berlaku di sebuah flat di Taipei itu dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan mangsa jatuh terduduk dalam keadaan separuh bogel.
Dia dipercaya sedang memadu asmara di atas pagar balkoni rumah dengan kekasihnya sebelum tergelincir dan terjatuh.
Wanita itu dirakam bergolek-golek di atas bumbung kereta sambil menahan kesakitan sebelum mengumpul kekuatan untuk turun ke bawah.
Tidak lama selepas itu, kekasihnya yang tidak berbaju dilihat datang berlari mendapatkan mangsa sebelum memeluk dan menenangkannya.
Impak hentakan itu menyebabkan bumbung kereta kemek manakala mangsa yang dikejarkan ke hospital dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya namun berada dalam keadaan stabil.
Pasangan itu juga diarahkan membayar ganti rugi atas kerosakan kereta milik jiran yang dirosakkan akibat insiden tersebut. – Agensi