LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo tidak menganggap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal di Emirates malam ini sebagai perlawanan biasa.
Meskipun kedua-dua pasukan dilihat berada di bawah prestasi sebenar ketika ini, namun perlawanan itu dijangka berlangsung ‘panas’ memandangkan mereka adalah musuh tradisi.
Espirito Santo yang baru mengambil alih Spurs pada musim ini berkata, perlawanan itu nanti berbeza dengan perlawanan lain dan beliau mengakui, masih belum menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
“Saya tahu ia adalah perlawanan liga tetapi lebih istimewa. Pertemuan dua musuh tradisi yang sangat ditunggu kedua-dua penyokong dan ia akan dirasai oleh semua pemain.
“Saya pernah berada dalam banyak situasi perlawanan derbi tetapi masih belum biasa dengan derbi Utara London. Semua pemain sedar perlawanan ini memerlukan komitmen yang cukup tinggi,” katanya.
Beliau berharap para pemain dapat memulakan perlawanan dengan aksi positif. – AGENSI