fbpx

‘Kalau dusta maka saya akan dilaknat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar daripada sebuah video sumpah laknat kedua yang diikrarkan oleh seorang wanita dimuat naik di saluran Telegram Firdaus Wong semalam.

PETALING JAYA – Selepas membuat pendedahan penuh kontroversi kelmarin, penceramah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung tidak menunggu lama apabila memuat naik pula rakaman sumpah laknat kedua di saluran Telegram miliknya semalam.

Kali ini, Pengasas dan Pre­siden Multiracial Reverted Muslims itu memuat naik rakaman video memaparkan kelibat wa­nita bertudung yang mendakwa anaknya pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pendakwah terkenal.

Menerusi video itu, wanita berkenaan bersumpah dengan nama Allah bahawa anak pe­rempuannya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri selepas diganggu pendakwah terkenal terbabit.

“Bismillahirahmanirahim, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya bersumpah dengan nama Allah bahawa anak saya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri setelah (individu itu) melakukan perbuatan terkutuk menerusi WhatsApp dan panggilan video terhadap anak saya.

“Jika saya berdusta, Ya Allah laknatilah saya,” katanya menerusi video berkenaan.

Semalam Kosmo! melaporkan Firdaus Wong menyebarkan rakaman sumpah laknat yang dibuat oleh abang mangsa gangguan seksual melibatkan pendakwah terbabit di saluran yang sama.

Firdaus Wong

Sekutunya, penyanyi rap, Caprice turut berteka-teki apabila sekali lagi memuat naik gambar memaparkan foto entiti iblis, jam pasir dan imej mengajuk ciuman yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pendakwah terke­nal itu di laman Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Firdaus Wong berkata, ibu mangsa te­lah ­mengizinkan dirinya untuk berkongsikan video sumpah laknat memaparkan anaknya te­lah menerima gangguan seksual.

“Mereka mengizinkan kerana mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat yang perkara itu memang berlaku dan menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis.

“Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu, apabila tiba masanya mereka semua akan tampil ke khalayak ramai demi sebuah kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Ja­ba­tan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang dipanggil untuk dirakam ketera­ngan mereka.

Katanya, tindakan menyebarkan mesej dan video berkenaan telah melambatkan perjalanan dan mengganggu proses melengkapkan kertas siasatan.

“Secara tidak langsung, penularan bahan-bahan berkenaan melambatkan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Walaupun anda mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan, tidak perlulah sebarkan di media sosial, salurkan terus kepada pihak polis agar kertas siasatan dapat dilengkapkan de­ngan teliti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI