GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Indonesia maut dalam keadaan mengerikan selepas beberapa bahagian anggota badannya hancur dikisar jentera palong bijih besi di sebuah lombong di Kampung Aring 5 di sini semalam.
Mangsa, Sakdan Muhammad, 36, yang berasal dari Aceh Timur dipercayai terjatuh ke dalam jentera lombong bijih besi itu ketika seorang rakannya membuka suis enjin untuk memulakan operasi mesin tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi ketika mangsa melakukan pemeriksaan pada jentera itu.
Katanya, pemeriksaan itu merupakan tugas harian mangsa bagi memastikan keadaan jentera berada dalam keadaan baik sebelum memulakan operasi melombong bijih besi.
“Selepas mangsa berpuas hati dengan keadaan mesin terbabit, dia memberi arahan kepada rakannya supaya membuka suis untuk memulakan operasi.
“Apabila jentera dihidupkan, rakan mangsa turun ke bahagian bawah jentera palong itu dan melihat lelaki itu berdiri di atas jentera yang bergetar dengan kuat,” katanya.
Choon Foo berkata, rakannya tidak sempat untuk mematikan enjin sebelum kaki mangsa tersangkut dan terjatuh dalam jentera terbabit.
Katanya, siasatan turut mendapati, mangsa yang baru bekerja di lombong itu dua minggu lalu mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dirujuk kepada kedutaan Indonesia bagi urusan selanjutnya.
“Berdasarkan keterangan saksi mendapati kejadian itu tidak melibatkan unsur jenayah dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE.