PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menasihatkan orang ramai agar tidak menunggu saat-saat akhir untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu sebelum berakhir tempoh moratorium yang ditetapkan pada 31 Disember ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata, mereka sewajarnya segera hadir ke cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum berlaku kesesakan teruk akhir tahun.
“Elak serbu ketika hampir habis tarikh itu, sebaliknya rancang sekarang untuk pergi dalam masa terdekat,” katanya setelah melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat JPJ di sini semalam.
Henry Sum berkata, sehingga kelmarin, semakan JPJ mendapati sebanyak 2,458,324 lesen kenderaan motor atau cukai jalan yang tertunggak belum diperbaharui.
“Jumlah tersebut merangkumi kenderaan persendirian dan perdagangan, susulan pemberian moratorium sejak tahun lalu bagi meringankan beban rakyat ekoran isu Covid-19,” katanya.
Sementara itu, dianggarkan sebanyak 2,672,000 lesen memandu telah tamat tempoh yang turut tertunggak belum diperbaharui oleh pengguna sehingga Khamis lalu di seluruh negara. – K! ONLINE.