fbpx

Pantulan aura eksklusif cermin berona gangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEINDAHAN ruang tamu kediaman diserikan dengan cermin berona gangsa yang memberikan aura mahal dan eksklusif.

DEKORASI berkonsep moden kontemporari mula popular sekitar tahun 2000 dan kini popularitinya mencanak naik apabila ramai pemilik rumah memilih konsep tersebut bagi memperindah mahligai idaman.

Konsep moden kontemporari berbeza sedikit berbanding moden iaitu banyak menggunakan warna kayu atau elemen kayu, rona hitam dan putih serta warna-warna Bumi yang lain.

Bagi konsep moden pula, ia nampak terlalu rigid dan kekinian sehingga agak membosankan tetapi apabila moden dan kontemporari digabung, maka dekorasi tersebut akan lebih terserlah.

Sudah menjadi kemestian bagi konsep moden kontemporari itu menggunakan kayu atau elemen kayu pada bahagian lantai yang menjadi identiti konsep tersebut.

PENGGUNAAN lampu tidur gantung di sisi dan kanan katil berbanding lampu sisi biasa menyerlahkan kelainan, manakala pemasangan cermin rona gangsa menyerikan lagi kamar.

Menurut salah seorang perunding rekaan di RHM Design, Muhammad Aiman Mohammad Safri, konsep moden kontemporari itu mencetuskan rasa lebih tenang, hangat dan selesa kerana hasil gabungan warna serta sentuhan kedua-dua dekorasi tersebut.

“Kebanyakan pelanggan kami yang menggemari konsep sebegini ialah golongan lelaki berusia 27 tahun ke atas. Masa yang diambil untuk menyiapkan dekorasi berkonsep moden kontemporari ialah sekitar dua hingga tiga minggu bergantung kepada keluasan rumah dan item-item digunakan,” katanya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Bercerita lanjut mengenai salah satu kediaman menggunakan konsep itu, Muhammad Aiman memberitahu, pada bahagian ruang tamunya, warna dan elemen kayu digunakan selain penerapan cat putih sebagai kontra.

Di ruang itu juga, terdapat perabot dengan gabungan warna putih, coklat cair dan hitam serta sentuhan marmar pada kabinet televisyen.

Menariknya, pada bahagian siling atas berdekatan kabinet televisyen itu turut diletakkan cermin berona gangsa bagi memantulkan cahaya yang lebih luas, menjimatkan elektrik dan mencetus aura mewah.

“Kami turut meletakkan kabinet untuk pemilik pamerkan koleksi-koleksi istimewa mereka di ruang tamu tersebut,” tuturnya.

RUANG makan dibina ringkas dengan penggunaan elemen kayu dan rona putih menterjemahkan konsep moden kontemporari

Sementera itu, di ruang makan pula, Muhammad Aiman dan pasukannya menggunakan meja makan daripada material kayu yang ringkas untuk enam orang menikmati juadah di situ.

Jelasnya, rumah itu tidak terlalu besar, maka mereka perlu memaksimumkan ruang yang ada dengan penggunaan perabot lebih ringkas.

Bahagian dapurnya pula banyak bermain dengan rona kelabu cair dan coklat, selain kabinetnya turut dipasang cermin berona gangsa untuk menampakkan mahal, eksklusif dan memberi pencahayaan lebih baik.

Bilik tidur utama pula dipasang lampu gantung di kiri serta kanan berbanding penggunaan lampu meja sisi biasa. Tidak ketinggalan, cermin berona gangsa turut dipasang pada bahagian kiri dan kanan katil, sekali gus menaikkan lagi seri bilik tersebut.

BALKONI bersebelahan bilik tidur utama menjadi tempat pemilik bersantai.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI