LONDON – Chelsea mengintai peluang untuk meneruskan aksi tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melayan kunjungan juara bertahan, Manchester City di Stamford Bridge malam ini.
Pemain pertahanan The Blues, Trevoh Chalobah memberi amaran kepada rakan sepasukan agar berwaspada kerana City pastinya mahu menebus kekalahan pada aksi final Liga Juara-Juara musim lalu.
Selain itu, dia juga menganggap perlawanan tersebut adalah peluang terbaik buat skuad kendalian Thomas Tuchel membuktikan mereka merupakan salah satu pasukan pencabar kejuaraan liga musim ini.
“Satu perlawanan yang penting dan sangat ditunggu-tunggu oleh peminat kerana kami akan bertemu dalam saingan liga. Saya fikir kami sudah catat keputusan yang baik ketika bertemu pasukan-pasukan besar setakat ini.
“Oleh itu, ini adalah peluang terbaik untuk kami teruskan rentak cemerlang musim ini serta buktikan kemampuan sebenar Chelsea. Kami perlu hadapi perlawanan itu dengan penuh yakin,” kata Chalobah.
Pemain berusia 22 tahun itu percaya City akan cuba melakukan segala-galanya bagi mendapatkan tiga mata, justeru pemain-pemain The Blues perlu berada pada prestasi terbaik menjelang perlawanan tersebut.
“Mereka (City) memiliki ramai pemain yang boleh memberi ancaman kepada kami, jadi Chelsea perlu bersedia terutamanya dari segi pertahanan. Selain itu, jentera serangan juga tidak perlu menunjukkan belas kasihan kepada mereka dan berusaha mencari gol,” ujarnya. – AGENSI