LONDON – Bintang tinju dunia, Anthony Joshua mengakui dia bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja meskipun terpaksa bertarung dengan ‘king kong’ sekali pun selepas bertekad enggan menyerahkan tali pinggang heavyweight miliknya ketika berdepan Oleksandr Usyk.
Petinju kelahiran Britain tersebut akan mempertaruhkan tali pinggang WBA, WBO dan juga IBF untuk mencabar juara WBO dari Ukraine menjelang perlawanan yang berlangsung hari ini di Stadium Tottenham, London.
Usyk merupakan bekas juara dunia cruiserweight dunia dan dilihat bakal memberi cabaran besar kepada Joshua apabila menjadi antara yang terbaik dalam apa sahaja kategori berat badan.
Bagaimanapun, Joshua langsung tidak gugup mahupun gentar ketika berdepan Usyk selepas bertekad untuk mengatasi sesiapa sahaja yang menghalang laluannya ketika berada di dalam gelanggang.
“Saya tidak suka berdepan petinju yang baik kerana saya mahu orang di luar sana terus menghormati saya.
“Namun, bagi saya ia bukan satu perkara yang rumit kerana jika anda suruh saya berdepan ‘king kong’ sekali pun saya akan lawan.
“Ini adalah peluang saya untuk terus bekerja dan ini adalah pekerjaan saya. Jadi, saya akan melakukan yang terbaik pada perlawanan esok (hari ini) dan ia bukan perlawanan yang mudah bagi semua orang,” katanya.
Sekiranya petinju berusia 31 tahun tersebut berjaya mempertahankan gelarannya ketika menumbangkan Usyk, dia berharap dapat berdepan jaguh dari Britain yang juga juara WBC, Tyson Fury pada aksi seterusnya. – AGENSI