fbpx

Verstappen tenang hadapi Hamilton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN hanya memiliki kelebihan lima mata berbanding Hamilton sekali gus menjadikan aksi di Sochi menjanjikan persaingan sengit. – AFP

LONDON – Pelumba pasukan Red Bull Racing, Max Verstappen menyindir kenyataan Lewis Hamilton selepas jaguh dunia Formula Satu (F1) tersebut mendakwa seterunya itu berada dalam tekanan dalam perebutan gelaran dunia musim ini.

Ketika ini, Verstappen yang mendahului perlumbaan F1 de­ngan kelebihan lima mata berpotensi dipintas sekali lagi oleh Hamilton selepas dia dikenakan penalti tiga petak di Sochi selepas menjadi punca dalam insiden kemalangan di Monza dua minggu lalu.

Sudah pasti, saingan perlumbaan Grand Prix (GP) Rusia hujung minggu ini pasti mendebarkan ketika Verstappen dilihat bertekad untuk mengakhiri dominasi pasukan Mercedes daripada terus menjuarai perlumbaan musim 2021.

“Saya sangat gugup sehingga hampir tidak dapat tidur ketika memikirkan soal pemburuan dan sangat menakutkan,” kata Verstappen dalam nada sinis.

Bagaimanapun, Verstappen mengakui mereka yang me­ngenali dirinya tahu bagaimana pera­saannya ketika ini ketika berjuang dalam saingan F1.

“Jika mereka mengenali saya, mereka akan tahu bahawa saya sangat tenang ketika berdepan situasi tersebut. Memiliki jentera yang sangat hebat membolehkan anda mampu melakukan perkara yang terbaik pada setiap minggu dalam mengharungi perlumbaan.

“Bercakap soal tekanan, anda benar-benar tidak mengenali saya. Ketika ini saya hanya fokus pada diri saya dan saya sangat menikmati perlumbaan di luar sana,” tambah Verstappen.

Sebagai rekod, Verstappen kini telah meraih tujuh kemenangan GP dan tiga kali berjaya meraih penamat podium tempat kedua di sepanjang 14 pusingan perlumbaan musim ini.

Hamilton yang berada di tangga kedua keseluruhan berjaya meraih empat kemenangan dan enam penamat podium. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI