KOTA TINGGI – Mayat warga emas yang dikhuatiri lemas selepas hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di kawasan lombong pasir di Felda Pasak, Kota Tinggi petang tadi dijumpai pada jarak lima meter dari lokasi mangsa menyelam.
Ketua Bomba Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, mangsa, Abd. Zarim Mohamed, 67, dijumpai pada pukul 7.10 malam.
Menurutnya, mayat lelaki itu ditemui unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.
“Unit PPDA telah membuat selaman pada pukul 6.50 petang di tempat mangsa dilaporkan menyelam.
“Mangsa kemudian dijumpai 20 minit kemudian pada jarak lima meter dari tempat mangsa menyelam.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Susulan itu operasi turut ditamatkan pada pukul 8 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora mengesahkan mayat mangsa telah ditemui pihak bomba di kawasan berhampiran mangsa kali terakhir menyelam.
Terdahulu Kosmo! melaporkan warga emas itu dipercayai lemas ketika melakukan aktikviti menyelam disekitar kawasan tersebut di mana mangsa disedari hilang oleh majikannya pada pukul 12 tengahari.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929