GEORGE TOWN – Seorang buruh binaan warga tempatan ditemui maut selepas dipercayai dibunuh seorang kenalannya di hadapan sebuah premis di Jalan 6, Changkat Minden, Jelutong di sini petang tadi.
Mangsa lelaki berusia 52 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada orang awam mengenai satu kejadian kemalangan membabitkan mangsa.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati kematian lelaki tersebut tidak menunjukkan sebarang unsur kemalangan sebaliknya mengesyaki berlaku kejadian bunuh.
“Hasil siasatan lanjut polis kemudiannya mendapati mangsa telah dipukul seorang lelaki selepas suspek berang dengan tindakan si mati yang mengeluarkan kata-kata tidak elok terhadapnya.
“Si mati ditemui terbaring bersebelahan dengan motosikalnya dan sebelum itu telah mendapat bantuan orang awam untuk mengalihkan motosikal dan memberi bantuan pernafasan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.
Soffian memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas si mati juga menemui kesan lebam pada dahi kiri dan kecederaan luka pada kening sebelah kanan.
“Polis kini giat memburu suspek berusia 42 tahun bagi membantu siasat dan mengenalpasti punca sebenar kejadian berlaku.
“Kita difahamkan, mereka selalu berada di sini (lokasi kejadian) untuk melepak dan minum minuman keras” ujarnya siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesakan iaitu bunuh. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929