JAKARTA – Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno memberi peringatan kepada semua pelancong untuk tidak membuka pelitup muka semasa bergambar, lapor portal Coconuts ,semalam.
Menurut Sandiaga, berdasarkan situasi pandemik Covid-19 yang belum reda, pihaknya amat mementingkan pematuhan protokol kesihatan terutama bagi pelancong.
“Jangan tanggalkan pelitup muka anda ketika bergambar di mana-mana lokasi pelancongan di Indonesia.
“Meskipun hanya merakam gambar swafoto, sila pakai pelitup muka,” tegasnya.
Menurut Sandiaga, satu sesi percubaan pembukaan semula ke atas 20 pusat pelancongan di wilayah yang dikategorikan di bawah Tahap 3 dan 2 Penguatkuasaan Pembatasan Kegiatan Awam (PPKM) telah menunjukkan impak positif.
Walaupun begitu, Sandiaga mendedahkan bahawa pelancong masih mengambil ringan terhadap beberapa protokol kesihatan, terutama yang berkaitan dengan gambar swafoto.
“Meskipun anda melawat tempat yang terbuka, pastikan pelitup muka kekal dipakai kerana kita tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya. – Agensi