KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada warga emas dihadkan oleh kerajaan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, cadangan tersebut diutarakan memandangkan terdapat faktor menunjukkan bahawa warga emas antara yang menjadi penyumbang kepada kemalangan di jalan raya.
“Kita kena tahu apabila mencapai usia warga emas banyak penyakit yang datang antaranya seperti nyanyuk, alzheimer dan penglihatan mata tidak terang.
“Faktor berkenaan secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya dan terdapat kes sebelum ini seorang warga emas memandu kenderaan dengan memasuki lorong motosikal,” katanya pada satu sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, golongan berkenaan juga perlu berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan surat pengesahan mengatakan bahawa mereka sihat tubuh badan untuk memandu kenderaan.
“Sebagai contoh, dalam polis lesen senjata api hanya diperbaharui sekali setahun dan cadangan pengeluaran LKM kepada warga emas juga perlu berbuat demikian (perlu diperbaharui setiap tahun).
“Sekiranya seorang warga emas berusia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun maka ia tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia jadi kerajaan harus meneliti perkara ini dan mengkaji pengeluaran LKM kepada warga emas,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Azisman turut mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan satu polisi untuk motosikal berkuasa rendah tidak mengeluarkan bunyi bising.
“Polisi berkenaan diperlukan kerana rata-rata motosikal berkuasa rendah ini banyak diubahsuai ekzosnya agar mengeluarkan bunyi bingit dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929