fbpx

Singapura tidak terdesak buka sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kerajaan Singapura didakwa tidak terdesak membuka sempadan Malaysia-Singapura kerana negara republik itu sedang mendapat limpahan ekonomi daripada perbelanjaan rakyat Malaysia yang kini ‘terkurung’ di sana.

Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor, S. Dayalan berkata, sejak sempadan itu ditutup akibat pandemik Covid-19, dianggarkan sebanyak RM14 bilion wang yang sepatutnya dibelanjakan di Malaysia telah dibelanjakan di Singapura.

Menurutnya, berdasarkan statistik terkini, terdapat seramai 215,000 rakyat Malaysia yang masih bekerja di negara berkenaan.

“Disebabkan mereka tidak dapat pulang, jadi mereka perlu berbelanja di Singapura untuk menyara diri dengan anggaran Singapura Dolar (SD1,500) sebulan.

“Berdasarkan kiraan itu, dalam tempoh setahun dianggarkan rakyat Malaysia di Singapura telah membelanjakan 4.5 bilion dolar Singapura, atau bersamaan kira-kira RM14 bilion,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di sini hari ini.

Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan sempadan antaranya paling sibuk di dunia telah ditutup sejak negara ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, Dayalan berkata, kerajaan Malaysia khususnya Johor perlu mendesak agar sempadan berkenaan dibuka dengan segera.

“Ketika sempadan itu ditutup dahulu, dunia masih belum tahu bagaimana ancaman Covid-19 dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

“Kini setelah setahun lebih, semua pihak sudah sedar akan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi selain majoriti rakyat kedua-dua negara sudah divaksin.

“Pembukaan sempadan itu bukan sahaja akan memberi kelegaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi juga membawa limpahan ekonomi kepada negara ini,” ujarnya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad memberitahu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor bersetuju mengangkat cadangan SOP pembukaan sempadan Malaysia-Singapura untuk Daily Commuting Arrangement (DCA) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Hasni dilaporkan berkata, SOP itu akan dikemukakan untuk menilai persediaan membenarkan pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik sekiranya keputusan pembukaan semula sempadan mencapai kata sepakat.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI