KUALA LANGAT – Kira-kira 9,000 penduduk di Jenjarom di sini membantah sebarang pemberian lesen kepada sebuah syarikat dalam membuka kilang bateri di kawasan tersebut.
Bantahan itu bagi mengelakkan berulangnya kembali pencemaran plumbum yang boleh menyebabkan sebarang implikasi kesihatan terutama kepada 3,000 pelajar di sekolah berhampiran kilang tersebut.
Wakil penduduk Kampung Jenjarom, Mohd. Nazri Afrizal berkata, sebelum ini pencemaran tersebut dibuktikan penduduk yang menghantar sampel tanah, rambut penduduk kepada makmal bertauliah dengan keputusan menunjukkan pendedahan plumbum yang tinggi.
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini telah menutup kilang tersebut disebabkan bukti pencemaran pada Oktober 2019 dan pihaknya berasa hairan MMKN meluluskan pembukaan semula kilang tersebut selepas beberapa wakil penduduk hadir pra libat urus bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada Isnin lalu.
Kilang itu mula beroperasi pada 2014 dalam aktiviti pengisian asid sebelum bangunan itu musnah dalam kebakaran pada Disember 2017 dengan 1,200 tan bahan mentah musnah termasuk asid sulfurik dan plumbum.
“Kami mempersoalkan kenapa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak menggunakan dan menguatkuasakan Rancangan Tempatan (RT) 2030 Kuala Langat yang hanya membenarkan untuk industri sederhana.
“Dalam RT pun menyatakan industri bateri adalah dibawah industri berat. Saya secara peribadi melihat MPKL menggunakan teknik menolak bola (alasan) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mempunyai hujah seolah-olah kilang boleh (beroperasi) di tapak ini. Namun kuasa mutlak pada MPKL sendiri yang sepatutnya menyejahterakan penduduk Kuala Langat,” katanya pada sidang akhbar bantahan di hadapan kilang tersebut di sini hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan semakan terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati di dalam syarikat yang akan membuka kilang tersebut adalah kebanyakannya adalah orang sama
seterusnya menimbulkan kebimbangan pencemaran bakal berulang kembali. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929