fbpx

Rabu depan keputusan kes SUV terjunam di Jambatan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vaitheswaran hadir ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini menetapkan Rabu depan untuk memutuskan sama ada seorang pemuda, M. Vaitheswaran perlu membela diri bagi pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat ketetapan itu selepas peguam Vaitheswaran, K. Paramanathan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan semalam dan tidak sempat membalasnya.

Menurut Paramanathan, pihaknya meminta mahkamah sedikit masa untuk meneliti sebelum membalas hujahan bertulis tersebut.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini sebagai hari keputusan akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

Pada 2019, Vaitheswaran, 23, didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI