PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini memuji tindakan Pahang yang membenarkan kehadiran jemaah belum divaksin untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di semua masjid mahupun surau di negeri itu.
Menerusi hantaran terbaharu dalam InstaStorynya, Rita bersyukur atas tindakan kerajaan negeri itu yang membenarkan umat Islam untuk menunaikan amal ibadat tanpa wujud diskriminasi.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Moga Pahang sentiasa dirahmati Allah. Tiada diskriminasi untuk yang belum vaksin, pondan atau pengkid ke masjid (dengan berpakaian ikut jantina),” tulisnya.
Tambah Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 45, negeri-negeri lain sepatutnya mengikut jejak langkah Pahang untuk mengimarahkan masjid berbanding meramaikan tempat pelancongan.
“Sepatutnya lebih menggalakkan orang ke masjid. Ramaikan masjid bukan ramaikan tempat pelancongan,” katanya lagi.
Semalam, kerajaan negeri Pahang membenarkan kehadiran jemaah yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di surau serta masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu yang berkuat kuasa semalam.
Terdahulu, nama pelakon filem Mami Jarum Junior itu menjadi bualan netizen dalam Twitter selepas didakwa sebagai anti vaksin apabila ada pengguna memuat naik tangkap layar InstaStorynya memaparkan dia sedang merebus bunga cengkih.
Malah, ibu tunggal kepada dua cahaya mata kelahiran Perlis Indera Kayangan itu turut bertindak menyiar semula beberapa hantaran yang seakan menguatkan dakwaan dirinya tidak percaya dengan vaksin Covid-19.
Rita juga pernah bersuara membidas tohmahan seorang pengacara televisyen yang mendakwa dirinya sebagai seorang anti vaksin dan kerap menyebarkan dakyah berkaitan perkara berkenaan. – K! ONLINE