PUTRAJAYA – Pesakit sedang dirawat dan diasingkan berkurangan di bawah angka 200,000 dengan 198,284 kes dilaporkan semalam, demikian data pada laman web CovidNow.
Kali terakhir kes aktif direkodkan di bawah angka tersebut ialah pada 2 Ogos lalu dengan 199,051 kes, seterusnya kekal melepasi 200,000 sepanjang tempoh ini sehingga 22 September.
Dalam pada itu, maklumat yang dikemas kini pukul 11.59 malam tadi menunjukkan, kes aktif tersebut melibatkan 165,421 kes dikuarantin di rumah, 21,350 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 10,396 kes di hospital.
“Selain itu, 502 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 615 kes di ICU memerlukan bantuan pernafasan,” menurut laman web tersebut.
Bagi kes kematian Covid-19 pula, sebanyak 116 kes dilaporkan termasuk 92 kes kematian sebenar dalam tempoh purata tujuh hari.
“Ia dilaporkan di Selangor (33), Pulau Pinang (20), Kuala Lumpur (17), Sarawak (14), Kelantan (10), Sabah (8), Melaka (7), Perak (6) dan Kedah (1) manakala, tiada kematian dilaporkan di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
“Terdapat 29 kes kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID), menjadikan sebanyak 4,838 kes BID di seluruh negara,” ujarnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929