fbpx

Sheila Majid kecewa dituduh makan duit, penipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEILA mengakui berlaku kelewatan dalam pengagigan wang royalti gara-gara penularan pandemik.

PETALING JAYA – Ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid yang juga Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM) meluahkan rasa kecewanya apabila difitnah makan duit dan penipu dalam menguruskan wang kutipan royalti.

Beliau didakwa ‘memeramkan’ duit kutipan royalti sebanyak RM21 juta dalam akaun RPM gara-gara kelewatan pengagihan wang royalti kepada penyanyi dan pemuzik rakaman.

“Kalau boleh saya tidak mahu keluarkan sebarang kenyataan, tetapi perkara ini sudah di luar kawalan. Saya tidak boleh terima apabila dituduh makan duit dan penipu. Ini semua fitnah, sebab itu saya terpanggil untuk memberikan penjelasan.

“Cara yang dilakukan (fitnah) tidak baik dan memecah-belahkan artis kerana tiba-tiba nampak duit yang banyak ini.

“Tuduhan tidak buat kerja adalah tidak berasas sama sekali, jika tidak mana datangnya wang kutipan royalti tersebut.

“Harus diingat kami semua yang memberikan perkhidmatan dalam RPM tidak mendapat bayaran, sebaliknya kami bekerja dengan ikhlas kerana sedar ini adalah wang kami dan rakan-rakan,” kata Sheila dalam satu sidang media virtual semalam.

Meskipun begitu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sinaran itu mengakui berlaku kelewatan dalam pengagihan royalti.

Hal ini kerana, terdapat pelbagai kekangan antaranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Selain itu, kutipan royalti untuk tahun 2019 juga baru sahaja diterima pada 31 Disember 2020 dan siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap RPM juga masih belum selesai.

Sungguhpun begitu, Sheila, 56, berjanji untuk menyelesaikan pengagihan wang kutipan royalti yang berjumlah RM21 juta selewat-lewatnya pada tahun depan.

“Duit itu tidak stuck (tersangkut) tetapi ada di dalam akaun tidak ke mana-mana, RPM bukan syarikat yang membuat pelaburan. Jika wang tersebut tidak dituntut, maka akan terus berada di dalam bank.

“Oleh sebab itu, saya memohon penyanyi dan pemuzik rakaman yang lagu mereka dikeluarkan di pelbagai platform supaya melakukan tuntutan mengikut proses yang telah ditetapkan oleh RPM. Kami perlukan bantuan anda (penyanyi dan pemuzik) untuk salurkan wang dengan lebih tepat.

“Wang royalti bukan hak kami, jadi tidak boleh sewenang-wenangnya beri kepada orang tanpa melalui proses yang betul. Pernah berlaku, dua pemuzik melakukan tuntutan terhadap sebuah lagu yang sama. Bagi menggelakkan penipuan proses tuntutan perlu dilakukan,” ujar Sheila lagi.

Terdahulu, penyanyi itu berdepan kontroversi apabila didesak meletakkan jawatan atas dakwaan gagal menyelesaikan isu agihan royalti ahli berjumlah RM21 juta kepada pemuzik rakaman dan semua penggiat muzik rakaman tanah air. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI