fbpx

‘Lirik ‘bunga api’, indah hanya sekejap kemudian lenyap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HABSAH HASSAN

SIAPA tidak kenal dengan penulis lirik tersohor negara, Datuk Habsah Hassan. Sentuhan lirik dalam lagu yang dihasilkan cukup indah dan bermakna.

Banyak karya yang dihasilkannya dinyanyikan oleh penghibur ternama tanah air masih mendapat tempat di hati pendengar muzik tempatan.

Lirik lagu yang mendapat sentuhan wanita berusia 72 tahun itu dianggap umpama ‘magis’. Dengan susunan kata yang indah menambahkan lagi keserian dalam sesebuah karya lagu.

Lagu-lagu dendangan penyanyi terkenal seperti Allahyarham Sudirman berjudul Salam Terakhir dan Merisik Khabar, Zaiton Sameon (Menaruh Harapan), Francisca Peter (Aku Hanya Pendatang), Aishah (Cinta Beralih Arah) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (Usah Diragui), sekadar menyebutkan beberapa nama dan tajuk, semua itu antara penulisan lirik Habsah yang masih diingati sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang penulis lirik berpengalaman, wanita yang mesra disapa Kak Chah itu tidak menolak kenyataan bahawa keadaan dan selera pendengar muzik hari ini sudah berbeza.

Sama juga dengan sentuhan lirik hari ini yang turut mengalami perubahan mengikut peredaran zaman.

HABSAH HASSAN menyedari hakikat bahawa muzik berevolusi mengikut zaman, namun lirik lebih tinggi nilainya jika disulami kata-kata berisi makna dan penuh estetika.

KOSMO!: Secara peribadi bagaimana Datuk melihat evolusi muzik, terutama lirik ketika ini dan apakah kelemahan yang dapat dilihat?
HABSAH HASSAN: Muzik sama seperti fesyen yang mengikut perubahan. Setiap tahun ada trend muzik tertentu. Kita tidak boleh elak bahawa muzik sentiasa berubah-ubah.
Selera orang tua seperti saya mungkin kurang menerima lagu-lagu masa kini berbanding lagu zaman saya.

Evolusi tidak salah. Pada pandangan saya, yang menjadi kelemahan penulisan lirik lagu-lagu sekarang adalah kesungguhan anak-anak muda dalam berkarya. Keseriusan itu mungkin tidak sama dengan zaman saya dahulu. Kita menulis dan berkarya berdasarkan minat pada seni muzik.

Minat saya adalah dalam bidang penulisan, bukan untuk mencari populariti atau duit. Kerana minat, penulisan kita akan menjadi lebih tulus dan kita akan lebih bersungguh-sungguh kerana berasa bangga dengan apa yang kita lakukan.

Bagaimana anda melihat kekuatan sentuhan lirik dalam lagu pada hari ini?
Penulisan lirik dahulunya dipanggil seni kata. Maknanya kata-kata yang ada seni. Seni kata adalah cetusan kata yang halus daripada jiwa. Saya mengibaratkan melodi sebagai pakaian yang cantik, manakala lirik pula adalah jiwa yang menggerakkannya. Jika pakaian (melodi) itu dipadankan pada sesuatu yang elok, hasilnya akan jadi elok. Tidak guna kalau ada melodi yang cantik, tetapi yang dipadankan (lirik) tidak sesuai, hasilnya akan jadi sia-sia.

Selain itu, pengalaman dan tahap pemikiran seseorang penulis lirik itu juga penting. Menulis lirik ibarat menulis cerpen, tetapi dalam bentuk yang lebih pendek.

Dalam sesebuah penulisan itu perlu ada permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Jadi lirik tidak akan menjadi berulang-ulang dari awal hingga akhir kerana ada ‘isi’ di dalamnya.

Penulis lirik muda hari ini hanya menggunakan kata-kata yang dirasakan sedap di telinga mereka, namun tiada jiwa. Penulis lirik muda hari ini tidak sensitif pada sesuatu perkara, contohnya alam.

Mereka hanya memikirkan konsep berdasarkan perasaan mereka sahaja dan kurang mendalami perumpamaan dan peribahasa kita yang indah-indah.
Jadi hasilnya akan jadi hambar.

HABSAH mengibaratkan melodi sebagai pakaian yang cantik, manakala lirik sebagai jiwa yang menggerakkannya. Tak guna baju cantik kalau tak dipakai dengan sempurna.

Apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi seorang penulis lirik yang baik?
Seseorang penulis lirik itu perlu ada minat dan bakat. Tetapi bakat sahaja tidak mencukupi kerana perlu ada usaha untuk ‘diasah’.

Menjadi seorang penulis lirik yang baik juga perlu ada kesungguhan dan mempunyai kemampuan penggunaan pembendaharaan kata yang baik. Bahasa Melayu kita banyak perkataan yang indah.  Bahkan saya sendiri masih membuka kamus untuk merujuk sesuatu makna perkataan. Seorang penulis lirik juga perlu peka dan menjadi pemerhati yang bagus.

Jadikan pengalaman orang lain kemudian terapkan dalam jiwa untuk dijadikan karya. Sebagai manusia tidak semua perkara kita alami.

Sebagai orang lama, apa teguran Datuk untuk penulis lirik muda supaya tidak dianggap ‘syok sendiri’?
Tanya diri sendiri untuk apa tujuan anda berkarya dan untuk siapa? Kalau sebab hendak popular, saya anggap perkara itu umpama ‘bunga api’. Naik dengan cantik tetapi sekejap sahaja lenyap.

Seseorang penulis lirik itu juga perlu berfikiran jauh ke hadapan. Maksudnya lirik yang ditulis biarlah jangka hayatnya panjang. Kita ada royalti. Lagu-lagu bergelar ‘evergreen’ layak mendapat royalti.

Selain daripada itu, penulis lirik juga perlu hasilkan lirik lagu yang sesuai untuk dinyanyikan oleh semua lapisan masyarakat. Lagi cantik kalau mereka mencipta identiti sendiri supaya pendengar tahu lirik sebegitu terhasil daripada karya mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI