LONDON – Chelsea menempah tempat ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) selepas menewaskan Aston Villa 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Pada 90 minit permainan sebenar, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 selepas Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Timo Werner pada minit ke-54 sebelum Cameron Archer menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.
Pengurus The Blues, Thomas Tuchel tetap gembira dengan kemenangan itu biarpun terpaksa melakukannya sehingga ke penentuan sepakan penalti memandangkan beliau merehatkan ramai pemain utama.
“Satu perlawanan yang sangat menarik di mana kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup bertenaga selain berbalas serangan. Chelsea dan Villa melakukan segala-galanya untuk menang perlawanan ini.
“Villa bermain sangat baik, begitu juga kami. Saya gembira kerana berpeluang untuk beri semua pemain dapatkan minit permainan kerana ia amat penting bagi memastikan mereka sentiasa bersedia,” kata pengendali dari Jerman itu.
Beliau turut memuji aksi penjaga gol, Kepa Arrizabalaga yang terus menampilkan aksi konsisten apabila menyelamatkan sepakan penalti Marvelous Nakamba, sekali gus memberi kelebihan buat Chelsea.
“Kepa sangat konsisten apabila berdepan sepakan penalti. Dia memiliki pengalaman dalam situasi seperti itu, jadi saya yakin dengan kemampuannya pada perlawanan hari ini (semalam),” ujar Tuchel. – AGENSI