SUSULAN kejayaan membanggakan pada kejohanan Endurance Eropah 24 Jam pada Jun lalu, Axle Sports sekali lagi membawa cabaran negara untuk Siri Perlumbaan Maya Le Mans yang dijadualkan Sabtu ini.
Axle Sports yang diketuai Alex Yoong teruja kerana sekali lagi beraksi pada perlumbaan bertaraf dunia dan tersenarai 31 pasukan untuk beraksi pada perlumbaan ‘endurance’ secara maya buat kali kedua berturut-turut.
Perlumbaan yang dijenamakan semula kepada Siri Perlumbaan Maya Le Mans akan menjadi kejohanan elit yang merangkumi lima pusingan dan akan bermula pada 25 September di Monza menerusi format perlumbaan ‘endurance’ 4 jam.
Alex Yoong optimis pasukan kendaliannya dapat mengulangi prestasi ketika bergelar naib juara dan percaya anak-anak buahnya dapat memberi cabaran sengit kepada pelumba lain.
“Saya berbangga melihat pencapaian Axle Sports sepanjang penglibatan di dalam bidang ini. Kami merupakan pendatang baharu dan tidak pasti apakah bentuk cabaran yang kami hadapi.
“Pengalaman selama beberapa tahun ini mengajar kami dan akhirnya kami menjadi antara pencabar dan pendahulu untuk rFactor2 di rantau Asia dan Eropah dengan pelbagai kemenangan berjaya diraih. Sasaran kami adalah untuk memberikan amaran bahawa kami juga mempunyai bakat luar biasa di rantau Asia Pasifik sekali gus memberi cabaran kepada pasukan terbaik di Eropah,” kata Alex.
Axle Sports akan mempertaruhkan pelumba handalan negara, Naquib Azlan yang baru dinobatkan sebagai pemenang eRacing Edisi Global, Mei lalu.
Naquib akan memandu jentera No.21 bersama Josh Purwien (Australia) dan Muhammad Aleef (Singapura) untuk kategori kelas LMP (Le Mans Prototype), manakala Alister Yoong (Malaysia), Mikko Nassi (Singapura) dan Inigo Anton pula akan beraksi bagi kelas GTE (Grand Touring Endurance) menggunakan jentera No. 61.
Empat pusingan pertama akan berlangsung September hingga Disember secara maya, manakala perlumbaan maya Le Mans 24 jam menjadi aksi kemuncak. Pusingan akhir akan dilangsungkan semasa Karnival Antarabangsa Permotoran 2022 di Birmingham ada 15 dan 16 Januari depan.