SEPANG – AirAsia kini bersedia untuk kembali memulakan perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa berikutan kejayaan gelembung perjalanan Langkawi yang telah bermula pada 16 September lalu.
Presiden (Penerbangan) Airasia Group, Bo Lingam berkata, mereka yakin perjalanan udara akan kembali pulih ke semua destinasi penerbangan domestik dan antarabangsa tidak lama lagi terutamanya dengan protokol kesihatan serta keselamatan yang telah dilaksanakan.
“AirAsia juga telah mencatatkan permintaan tinggi untuk destinasi pelancongan domestik yang baharu dibuka termasuk Langkawi di Malaysia; Boracay, Cebu, dan Bohol di Filipina serta Chiang Mai dan Hat Yai di Thailand.
“Muatan penumpang untuk destinasi pelancongan ini amat memberangsangkan dengan muatan antara 80 dan 90 peratus dengan lebih kekerapan dan laluan penerbangan yang akan ditambah tidak lama lagi, sejajar dengan tempahan konsisten serta tinggi pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, semua penumpang penerbangan AirAsia diwajibkan mendaftar masuk kendiri dan menggunakan aplikasi airasia Super App.
Katanya, aplikasi itu menawarkan beberapa kelebihan kepada pengguna, antaranya pelepasan tanpa sentuhan melalui sistem pengesahan muka FACES, sekali gus mengelakkan pengguna beratur panjang di kaunter selain bersesak-sesak dengan orang ramai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929