SUBANG JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerlukan masa sebulan lagi sebelum meletakkan harga siling baharu bagi pelitup muka tiga lapisan.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, mereka berhasrat untuk meletakkan harga antara 70 hingga 80 sen bagi setiap pelitup muka.
“Sekarang kita letakkan harga RM1 bagi satu pelitup muka tiga lapisan, tapi kita nak turunkan lagi. Kita akan buat kajian dulu tapi ia akan ambil masa sedikit.
“Buat masa ini kita bagi notis kepada peniaga bahawa kita akan turunkan lagi (harga siling),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran tapak jualan dan penempatan produk-produk buatan Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana tempatan di Hypermarket Mydin USJ di sini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Wira Ameer Ali Mydin.
Pada majlis tersebut juga, Alexander turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang kempen OHMYDIN! Beli dan Menang MYDIN@Shopee. – K! ONLINE