fbpx

Guan Eng jumpa Datuk Zarul bincang projek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ditemani isterinya Betty Chew ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan keenam memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Lim Guan Eng ada bertemu dengan pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli beberapa kali bagi membincangkan perkembangan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Farida Hani Yacob yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Guan Eng berkata, pertemuan dengan Zarul itu sering diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan Komtar, Pulau Pinang.

Ujarnya, beliau mula mengenali Zarul sejak media mula melaporkan tentang projek terowong di Pulau Pinang sebagai pemilik CZBUCG, berdasarkan keadaan pada masa itu.

“Seingat saya, pertemuan yang disusun membabitkan janji temu antara Zarul dan Guan Eng adalah kurang daripada lima kali.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat sahkan secara tepat kerana tidak ingat, tetapi ianya tidak terlalu kerap,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Pengurus Besar WCT Construction Sdn. Bhd, Ooi Bok Thian, berkata meskipun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, namun markah penilaian teknikal dan kewangan bagi projek hanya 59.

Bok Thian, memberitahu, syarikat CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Guan Eng, 61, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya wang RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu dilakukan pada Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta balasan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI