SEREMBAN – Seorang pengarah syarikat alat ganti motor dijatuhi hukuman denda RM70,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan suapan kepada dua pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Februari tahun lalu.
Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, bagaimanapun tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Yeng Fart didakwa memberi suapan wang tunai RM100,000 kepada dua pegawai KPDNHEP yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan.
Ia sebagai dorongan supaya tindakan tidak diambil ke atas semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn. Bhd. yang melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis restoran di Seksyen 8, Seremban 2 pada 4 Februari 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929