GEORGE TOWN – Seorang pemandu van terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam akibat tersepit di dalam kenderaan itu yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Jalan Perak, Jelutong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa lelaki berusia 28 tahun tersebut dilaporkan mengalami kecederaan parah pada muka.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan kecemasan mendapati mangsa tersepit di tempat pemandu, manakala pemandu kereta terlebih dahulu dihantar ke hospital.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan peralatan khas dan dia berjaya dikeluarkan pada pukul 1.40 petang.
“Difahamkan pemandu kereta yang belum dikenal pasti identitinya itu mengalami kecederaan pada kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa yang tersepit telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 1.47 petang. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929