SEBERANG PERAI – Sebanyak kira-kira 16 tan lemak babi untuk membuat biskut dirampas dalam pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada Isnin lalu.
Jurucakap Maqis negeri berkata, ketika operasi kira-kira pukul 9 malam itu, pihaknya mendapati satu kontena yang membawa masuk produk proses berkenaan yang diisi di dalam tong bersaiz 10 kilogram setiap satu.
“Siasatan lanjut mendapati ia tidak mematuhi syarat-syarat import seperti yang dinyatakan dalam Permit Import Maqis iaitu tiada nama dan alamat loji pada label pembungkusan.
“Justeru sebanyak 16,200 kg lemak babi itu yang bernilai RM110,456.37 telah disita untuk tindakan lanjut.
“Tujuan dagangan dari Belanda itu diimport adalah sebagai bahan dalam pembuatan biskut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728]. – K! ONLINE