PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dilihat tenang menjalani kehidupan seperti biasa biarpun khabar angin berkaitan dirinya bertiup kencang di laman media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Beliau turut mengambil peluang membawa keluarga tersayang bercuti ke Pulau Langkawi yang menjadi destinasi gelembung pelancongan domestik baru-baru ini.
“Selalu sibuk. Beberapa hari ini dapat cuti bersama keluarga. Sebelum teruskan misi dan keluar di jalan Allah. Doakan ya. Hidup hanya hendak sukakan Allah iaitu untuk mendapat reda Allah,” ujarnya di laman Facebook semalam.
Ebit menerusi laman Instagram turut berkongsi sebuah klip video memaparkan beliau dan isteri kelihatan ceria menaiki jet ski di sekitar pantai pulau peranginan berkenaan.
“Bidadariku, baikkan Allah temukan kita. Dialah Allah yang temukan kita. Terima kasih Allah yang tidak berhenti beri nikmat dalam hidup kita. Syukur pada Allah. Tidak tahu hendak ucap bagaimana.
“Kasih sayang terbesar Allah beri Islam ini. Terima kasih ya Allah. Dialah Rab pemilik segala-galanya. Bahagia dihati bila kita bersyukur. Syukur hadir bila kita kenal Tuhan. Kenal Allah,” tulisnya semalam.
Beliau berkata, kita perlu menghargai keluarga serta insan yang dicintai kerana Allah di samping turut mengingatkan bahawa kehidupan di dunia ini hanya untuk mendapat keredaan dan kasih sayang Maha Pencipta.
“Kita tak hidup nak sukakan orang. Hanya untuk sukakan Allah. Maafkan semua orang. Doa keampunan. Doa hidayah dan kebaikan rahmat buat lapan bilion manusia seluruh Alam,” tulisnya.
Menerusi ruangan komen, hantaran berkenaan dihujani kata-kata semangat dari orang ramai yang mendoakan agar urusan beliau dipermudahkan.
“Ujian sedang melanda. Kuatkan hati ya ustaz dan keluarga juga. Tanda Allah Sayang. Kami sentiasa doakan. Moga semuanya berakhir dengan baik,” kata Nor Suhaila.
“Bukan sekadar inspirasi dan idola dalam kerja dakwah serta kebajikan tetapi juga dalam hidup membina rumah tangga yang bahagia hingga syurga,” komen Ikhsan Helzy.
“Tidak faham sungguh ada orang suka jaja cerita buruk tidak tahu mana pangkal betul. Konon sahih. Sedih. Saya tetap teguh dengan pendirian. Semoga ada pengakhiran yang baik buat kita semua,” kata Amanda Delisha.
“Moga kita sentiasa disibukkan buat kerja kebaikan dan beri manfaat selagi ada hayat,” ulas Yat Qiestina.
Semalam, pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan satu perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.
Dalam pada itu, pendakwah bebas, PU Syed turut menulis status panjang lebar dalam Facebook meminta agar Ebit berhenti mendiamkan diri dan melakukan sesuatu terhadap segala fitnah dan dakwaan dilemparkan terhadap dirinya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929