MISANO – Pengurus pasukan Repsol Honda, Alberto Puig kagum dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez yang dilihat mula kembali bersaing di kelompok hadapan.
Puig menegaskan dua perlumbaan pada bulan ini, Marquez telah mempamerkan peningkatan cukup baik apabila menaiki podium di Grand Prix (GP) Aragon dan mengakhiri saingan tempat keempat di GP San Marino meskipun keadaan fizikalnya masih belum cukup sempurna 100 peratus.
Selepas terlibat dalam insiden kemalangan tahun lalu, pelumba Sepanyol itu telah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali di tangannya.
Marquez terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan semula rentak tunggangan terbaiknya selain perlu berhati-hati setiap kali berada di trek untuk mengurangkan risiko terlibat dalam kemalangan.
“Kami memperoleh keputusan yang lebih baik daripada yang kami jangkakan. Itu sebabnya saya gembira dengan keputusan yang diraih Marquez apabila mampu menamatkan saingan di kedudukan keempat di GP San Marino.
“Meskipun keadaan fizikal Marquez belum cukup sempurna, namun dia berjaya perbaiki kedudukannya dengan baik, malah mampu meraih podium tempat kedua di Aragon.
“Saya faham apa yang dialami Marquez, Bagi saya ia adalah satu perkembangan yang cukup positif dan saya harap keputusan itu dapat memberi motivasi kepadanya untuk meraih lebih banyak kejayaan,” kata Puig. – AGENSI