NORWICH – Masa depan penyerang Liverpool, Takumi Minamino masih cerah bersama pasukan itu ketika membantu The Reds menewaskan Norwich City 3-0 pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di Carrow Road awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Minamino menampilkan penyudah yang cukup berbisa apabila menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi dijaringkan pemain antarabangsa Belgium, Divock Origi.
Sebelum ini, Minamino jarang diturunkan oleh pengurus, Jurgen Klopp selepas dia mengalami kecederaan betis, sekali gus menyebabkan pemain antarabangsa Jepun itu diketepikan buat seketika.
“Setiap pemain bola sepak pasti mahu mendapatkan lebih minit permainan. Dia bermain bersama pasukan negaranya sebelum ini dan tercedera, jadi dia bukanlah diketepikan untuk tempoh yang lama.
“Walaupun dia baru sahaja pulih daripada kecederaan, namun Minamino bermain sangat baik dan berhak untuk menjaringkan dua gol pada perlawanan hari ini (semalam),” kata Klopp.
Pada masa sama, bekas pengendali Borussia Dortmund itu gembira dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan barisan pemainnya biarpun tidak memiliki banyak masa untuk melakukan persiapan.
“Kami bermula sangat baik dan bermain cukup agresif walaupun melakukan persiapan dengan masa yang agak suntuk. Selepas gol kedua dan ketiga, kami berjaya mengawal permainan sehingga tamat perlawanan,” ujarnya. – AGENSI