SUKAN silat kemungkinan berdepan ancaman untuk digugurkan menjelang temasya Sukan Asia 2022 Hangzhou, China selepas dilihat tidak memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah China khususnya.
Sukan silat memulakan debut di temasya Sukan Asia Jakarta 2018,namun ia tidak berada dalam senarai 40 sukan yang akan bertanding di Hangzhou nanti.
Bagaimanapun, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan cuba sedaya upaya untuk memastikan silat terus disenaraikan di Sukan Asia tahun depan.
Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, harapan untuk melihat sukan silat terus dipertandingkan di Sukan Asia tampak sukar berikutan kematian bekas naib presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Dr. Hoang Vinh Giang baru-baru ini.
Megat menyifatkan, Vinh Giang sebagai ‘jambatan’ dengan pasukan tuah rumah Sukan Asia 2020, China untuk memastikan acara sukan silat terus disenarai.
“Menjelang Sukan Asia di China nanti, sedikit merisaukan saya dan ketika ini kita sedang berusaha untuk memastikan acara silat dapat dipertandingkan pada temasya itu nanti.
“Saya sedih dengan pemergiannya Vinh Giang kerana beliau merupakan individu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa masuk silat ke Sukan Asia di China.
“Dia kawan lama saya. Dia adalah individu terpenting dalam mengembangkan silat di Vietnam.
“Vinh Giang memiliki hubungan yang sangat baik dengan jawatankuasa penganjur Sukan Asia 2022 Hangzhou dan diibaratkan sebagai jambatan (penghubung) bagi kami.
“Begitupun, kami akan terus berusaha untuk memastikan silat berada dalam senarai menerusi bantuan badan kebangsaan China. Kami juga akan terbang ke China untuk bertemu dengan jawatankuasa penganjur,” kata Megat dalam sesi bersama media secara maya baru-baru ini.
Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, skuad silat negara membawa pulang empat perak dan empat gangsa untuk menamatkan kedudukan di tempat ketiga keseluruhan di belakang juara, Indonesia yang meraih 14 emas.