PETALING JAYA – Kalbe Malaysia Sdn. Bhd. (Kalbe), syarikat pengeluar minuman Hydro Coco, terus aktif mempromosikan khasiat minuman air kelapa kepada lebih ramai masyarakat khususnya kepada golongan muda.
Salah satu inisiatif yang dijalankan adalah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengedarkan Hydro Coco secara percuma kepada penerima vaksin dan barisan petugas hadapan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini.
Ketua Kawasan, Segmen Pengguna dan Minuman Kalbe, Rashid Ibrahim berkata, sebanyak 1,200 pek minuman Hydro Coco disediakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega tersebut.
“Masyarakat tidak boleh menafikan khasiat air kelapa kerana ia dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan diri secara semula jadi.
“Ketika pandemik Covid-19, kita digalakkan minum air kelapa, sehubungan itu, melalui program CSR ini, kami akan dapat membantu penerima vaksin untuk mengurangkan gejala demam (bergantung kepada individu) selepas menerima suntikan,” katanya dalam kenyataan.
Rashid menjelaskan, air kelapa berkhasiat terhadap tubuh sekiranya diminum secara konsisten kerana ia juga memiliki kalori dan lemak yang rendah serta mineral penting untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
“Penerima vaksin juga tidak perlu bimbang sekiranya mereka mahu minum air kelapa selepas menerima suntikan vaksin.
“Ini kerana, kami telah membuat kajian terlebih dahulu terhadap produk tersebut sekiranya ia diambil selepas menerima vaksin,” ujarnya.
Tambah Rashid, jualan Hydro Coco kini telah berjaya mencatat jualan sehingga RM100,000 sebulan sejak produk tersebut berada di pasaran negara ini pada awal tahun lalu.