fbpx

Graduan UniMAP tak malu jual rojak petis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORFATIN NABILA menyiapkan rojak petis likat ketika ditemui di kedainya di Medan Koop, Jalan Bakek, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempunyai cara tersendiri untuk menjana pendapatan sementara menunggu mendapat peluang pekerjaan dengan membantu ibunya menjual rojak petis likat di sini.

Norfatin Nabila Lokman, 24, tidak malu membantu ibunya, Salasiah Abd. Ghani, 49, berniaga di bandar Pontian walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baru yang diperoleh pada awal September lalu.

Katanya, rojak petis likat yang diusahakan sejak 24 tahun lalu semakin popular selepas mendapat liputan dalam rancangan di dua buah syarikat televisyen.

“Saya masih belum mendapat sebarang tawaran kerja walaupun telah beberapa kali menghantar permohonan untuk bertugas dalam bidang pengurus perhubungan awam, wartawan dan sumber manusia.

“Setakat ini belum ada rezeki untuk saya bekerja dalam bidang yang sesuai dengan pengajian selama tiga tahun itu,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) di Medan Koop, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, dia tidak kekok untuk membuat rojak petis likat kerana telah biasa membantu ibunya berniaga sebelum dan ketika belajar di UniMAP.

Menurut Norfatin Nabila, selain rojak petis likat, gerainya yang diberi nama D’ Jannah Corner turut menjual pelbagai jenis makanan bergoreng, rojak pisang dan cikong bizibodi.

“Kami beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang kecuali Jumaat serta Sabtu,” katanya.

Ujarnya, rojak petis likat itu dikenali di bandar Pontian ke­rana keenakan dan rasanya yang memikat para pelanggan.

Jelasnya, sebelum ini ibunya berniaga di gerai kecil sebelum berpindah ke Medan Selera MPPn berhampiran pejabat Jabatan ­Pengangkutan Jalan sejak lapan tahun lalu.

“Alhamdulillah sambutan daripada orang ramai amat memuaskan terutama sebelum Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu pelanggan dibenarkan dine-in,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, pendapatan harian mereka merosot separuh disebabkan PKP, namun masih boleh bertahan memandangkan ada pelanggan yang datang membeli secara bungkus.

Ditanya minatnya dalam bidang komunikasi, Norfatin Nabila bersedia untuk menyertai mana-mana syarikat atau agensi media sekiranya diberikan tawaran supaya pengajian yang dipelajari dapat dipraktikkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI